Tuesday, May 6, 2008

Aqidah Tauhid: Tiada Ilah Melainkan Allah

March 21st, 2005 | by Abu Saif | 2,047 Views | Print This Post Print This Post | Email this post Email this post |

La Ilaha Illallah (Tiada Tuhan melainkan Allah) merupakan bahagian pertama daripada kalimah pengakuan keimanan. Ia bermaksud tiada sesuatu pun yang patut ditujukan pengabdian melainkan Allah.

Muhammad Rasulullah (Muhammad Utusan Allah) adalah bahagian keduanya. Ia bermaksud, pengabdian itu mestilah dilakukan berlandaskan ajaran dan cara yang ditunjuk ajar oleh Rasulullah SAW.

Mentauhidkan Allah dengan makna makrifat yang sebenarnya hendaklah merangkumi tiga perkara iaitu :

  1. Tauhid Rububiyyah
  2. Tauhid Uluhiyyah
  3. Tauhid Al-Asma’ was Sifât

TAUHID RUBUBIYYAH

Rububiyyah berasal daripada perkataan Rabb (رب) dan dari konteks linguistik, ia mengandungi beberapa maksud seperti berikut:

  1. Pemeliharaan anak atau pemeliharaan kebun. Ia menjaga dari segala kesusahan kerana ia bertugas sebagai pemelihara, penjaga, pengasuh segala urusan yang berhubung dengan anak atau kebun.
  2. Pemimpin atau pembela umat. Apabila ia memerintah ia menjalankan kepimpinan dan hukum; dan ia dianggap sebagai pemimpin masyarakat.
  3. Majikan yang menjaga dan mengawasi rumah atau memilikinya juga digunakan sebagai penternak atau gembala. Ia bererti ada pertaliannya dengan fungsi raja yang memerintah, mendidik dan membela serta mengawasi. Jika perkataan Rabb digunakan untuk Dzat Ilahi, maka hakikatnya Allah merupakan Raja bagi segala makhluk. Ia sebagai Tuhan, sebagai Raja bagi segala raja, yang Maha Agung dan Maha Hakim serta tidak ada yang lebih agung dan hakim selainNya. Dia yang menjadikan alam semesta dengan pengaturan yang rapi, pemeliharaan dan pengendalian pergerakan seluruh alam.

Dari segi istilah syara’, Tauhid Rububiyyah bermaksud mentauhidkan Allah pada mencipta alam, mengurus dan mentadbirkannya, memiliki, memelihara, menghidup, mematikan dan seterusnya, di mana terkandung di dalamnya juga beriman dengan qadar.

Tauhid ini sahaja tidaklah mencukupi dalam mencapai iman dan Islam, kerana Allah SWT menyatakan bahawa orang-orang musyrik juga mengakui tauhid ini. FirmanNya di dalam Surah Yunus ayat 10:

“Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi atau siapakah yang memliki penciptaan, pendengaran dan penglihatan? Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah! Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertakwa kepadaNya?”

Rujuk juga surah Az-Zukhruf ayat 87, Al-Ankabut ayat 61 dan 63

Keingkaran manusia kepada adanya pencipta hanya kerana kesombongan dan ketakburan, bukan bererti fitrah manusia menolak adanya Pencipta. Kerana itu apabila kepompong kesombongan yang mengurung fitrah itu hilang, maka tanpa disedari manusia pada suatu waktu terpaksa menyerahkan dirinya kepada kekuasaan Allah dan meminta tolong kepadanya. Hakikat ini menjadi ketara apabila manusia menempuh detik-detik genting di mana segala pengharapan terputus, kecuali yang bersandar kepada Yang Maha Esa. FirmanNya di dalam surah Luqman ayat 32:

“Apabila mereka dilamun ombak yang (besar) seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepadaNya. Tetapi tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai ke daratan, maka sebahagian mereka sahaja yang tetap menempuh jalan yang lurus. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain orang-orang yang tidak setia lagi ingkar”

Daya memahami adanya Allah Yang Maha Pencipta, sudah semulajadi dibekalkan ke dalam naluri manusia. Oleh yang demikian, perbahasan mengenai Tauhid Rububiyyah bukanlah merupakan sasaran utama perbincangan Al-Quran. Persoalannya adalah sama ada fitrah ini dibentuk, dipupuk, diseleweng atau dibanteras. Jika dibanteras, bermakna manusia tersebut menzalimi dirinya sendiri. Sekiranya terseleweng maka akan songsanglah insan tadi mengharungi hidup ini, celakalah dia di neraka nanti.

Dan seandainya naluri ini dipupuk, dididik dan dipertingkatkan ketaqwaannya, maka pasti akan menatijahkan keyakinan yang bulat bahawa Allah sahajalah sumber cipta, Allah sahajalah yang berhak menerima pengabdian – ringkasnya pengiktirafan uluhiyah Allah secara mutlak dan serba merangkumi:

TAUHID ULUHIYYAH

Iaitu dengan ikhlas memberikan kepada Allah, dengan mahabbah (cinta) kepadaNya, khauf (takut) kepadaNya, raja’ (pengharapan), tawakal dan raghbah (keinginan) dan rahbah (kegerunan) hanya kepada Allah. Bahawa semua itu dibina dengan ibadat yang ikhlas zahir dan batinnya kepada dan kerana Allah. Tidak ada sekutu bagiNya, tidak dijadikan ibadat itu kepada selainNya. Seterusnya menerima segala hukum dengan yakin dan redha.

Perkataan Ilah lazimnya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sebagai TUHAN. Penterjemahan itu tidaklah salah tetapi pemahaman Bahasa Melayu terhadap perkataan Tuhan tidak merangkumi keseluruhan makna Ilah yang dikehendaki oleh nas syara’. Selain daripada Allah, perkataan Tuhan ditujukan kepada patung-patung berhala atau dewa-dewi Hindu dan Buddha. Orang Melayu yang beragama Islam yang tidak menyembah patung-patung itu tadi sudah tentu menganggap bahawa mereka sudah menyempurnakan kewajipan mengiktiraf Allah sebagai Tuhan dan bebas daripada syirik. Sedangkan pemahaman serpihan terhadap makna Ilah itu tadi akan mendedahkan mereka kepada pelbagai syirik lain yang boleh berlaku tanpa disedari dan di luar kefahaman.

Untuk mengelakkan kekeliruan, eloklah kita perhatikan kepada penggunaan perkataan ILAH di dalam Al-Quran:

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ILAHnya…” (Al-Jatsiyah : 23)

Di dalam ayat ini Allah SWT telah menujukan perkatan ILAH kepada hawa nafsu. Sudah tentu perkataan ILAH yang diertikan sebagai tuhan menurut kefahaman biasa tidak akan dapat menggambarkan hawa nafsu sebagai tuhan. Ini membuktikan bahawa perkataan ILAH mempunyai makna yang jauh lebih luas dari perkataan tuhan yang biasa.

Perkataan ILAH membawa kepada pengertian yang saling melengkapi. Untuk tujuan perbincangan, kita bahagikan ia kepada enam pengertian iaitu:

  1. Tuhan menurut pengertian lazim
  2. Tumpuan atau matlamat pengabdian
  3. Tempat perlindungan
  4. Tumpuan kecintaan
  5. Pemberi rezeki
  6. Sumber perundangan

(sumber dari: www.saifulislam.com)

No comments: